Search This Blog

Wednesday, October 20, 2010

Persediaan Mengembara


Jika semuanya dimudahkan Allah SWT, saya dan isteri bersama seorang sahabat akan terbang ke bumi UK bagi membuat kajian biografi tokoh 2 Disember ini. Destinasi yang direncanakan adalah Kota London dan Ireland. Saat menghitung hari, pelbagai ujian datang, termasuklah kesibukan menghabiskan silibus kuliah semester ini. Terdetik di hati, jika Tuhan memudahkan urusan tiket (yang dibeli oleh pihak penaja), pasti Tuhan akan memudahkan kembara ilmu ini sehingga terhasilnya sebuah buku, insya Allah.


Seorang sahabat yang baru pulang dari bumi UK berpesan, banyakkan pembacaan tentang bumi UK dan sejarahnya. Kebetulan di sana kami bakal disambut salji dan musim sejuk, suasananya amat mengujikan. Kami juga bakal menulis tentang sejarah tokoh, ini memerlukan persediaan maklumat yang lengkap. Nilai tukaran matawang yang tinggi menyebabkan tiada target untuk membeli belah sebaliknya mengumpul tiap inci pengalaman untuk dikongsikan dengan masyarakat pembaca Malaysia. Google Map mengenalkan kami pada setiap pelusuk UK sebelum 'berpijak di bumi yang nyata'. Ternyata, blog2 pengalaman rakyat Malaysia di UK menjadi aset pengumpulan maklumat kembara ini.


Harapan saya dan isteri, kami dapat menyelesaikan kerja2 di tangan kini dengan bantuanNYA sebelum menggalas kembara ilmu ini. Saya berdoa semester ini ditamatkan dengan cemerlang, isteri pula berharap tugasnya sebagai pensyarah dilaksanakan dengan baik selain menyiapkan skrip dramanya. Juga menunggukan doa para pembaca agar dimudahkan urusan kehidupan kita semua.


Salam ukhwah,

Ahmad Dhiak dan isteri

Wednesday, October 6, 2010

Ciplak!

Sudah lama tak menulis di blog ini, tak bermakna pemiliknya beraya sebulan. Menjadi penulis rupanya tak mudah. Sebab tu tak pelik Sasterawan Negara pun tak boleh hasilkan novel setahun sekali. Memang hasil yang terbaik adalah 'hasil peraman' yang memakan masa@ lama.

Baru ini seorang teman berkongsi cerita, dalam sebuah pertandingan syarahan ilmiah antara IPT, seorang pelajar dari sebuah IPTA telah membentangkan teori sastera dengan baik. Syarahannya itu dipuji rata-rata juri. Syarat pertandingan antaranya pelajar@pembentang mestilah menghasilkan sendiri kertas-kerjanya itu. Di pendekkan cerita, pelajar ini rupanya telah 'menciplak' kertas-kerja lain kemudian dipakaikan namanya sebagai pengkaji. Yang amat menyedihkan para juri ialah pelajar ini adalah penulis remaja yang telah menghasilkan sebuah novel, dan namanya turut menjadi sebutan khalayak sastera. Amat malanglah baginya kerana melakar catatan 'kurang elok' ketika mula berjuang.

Perkara ini bukan baharu. Kemudahan di hujung jari membuatkan mahasiswa mengambil jalan mudah mahu mencipta kejayaan. Dalam membuat kerja kursus misalnya, budaya 'copy' dan 'paste' sudah biasa. Apabila ditegur, seakan tiada rasa bersalah.

Jika hari ini belia diasah untuk berfikir cetek dengan menciplak, kita bimbang apabila mereka sudah berada di atas, di singgahsana pimpinan, apakah kesannya?

Thursday, September 23, 2010

Guru Sebagai Ibu Dan Ibu Sebagai Guru


Kerana hadirnya kita memberi senyuman kepada mereka, bersyukurlah!

GAMBAR- Mak (empat dari kiri), sabar mendidik anak cucu dan menjadi guru kepada orang lain.

Sunday, September 19, 2010

Tanpanya Tak Mudah

Wanita kaya dengan emosi, lelaki dikurniakan lebih akal. Keduanya itu merupakan kelebihan dan kekurangan. Namun, tanpa sesuatu yang bernama ILMU, takkan mudah memudik emosi mahupun akal.

Ilmu akan membolehkan seorang wanita memandu emosinya dengan baik, dengan terkawal. Keadaan diri wanita banyak membentur emosi yang tidak tetap terutama ketika didatangi bulan dan hamil. Wanita selalu mendahulukan perasaannya ketika memutuskan sesuatu keputusan. Kurniaan Allah Maha Tepat apabila memilih wanita untuk melahirkan zuriat. Rahim wanita perumpamaan sifat AR-RAHIM Allah SWT iaitu suatu rasa cinta dan kasih kepada makhluk. Tidak ada seorang ibu yang setiap hari berkeluh-kesah dengan kehadiran anak dalam kandungannya. Fitrahnya, mereka sangat sabar mengendong si anak dalam kandungan selama sembilan bulan.
Wanita, dengan emosinya juga dapat memahami sudut-sudut tersirat yang tidak selalu ditangkap oleh lelaki.

Walau bagaimanapun, jika emosi tidak dipandu oleh ilmu, perbuatan yang berlaku selepasnya akan mengikut nafsu. Hasilnya, kehidupan tidak tenang, selalu berfikiran negatif, minda tertutup dan kecewa. Ilmu agama yang paling diperlukan untuk membimbing emosi manusia.

Begitu juga bagi seorang lelaki. Jangan berbangga dengan kurniaan akal sehingga mengabaikan perasaan dan hati. Orang yang berjiwa lembut lebih mudah dan terbuka melihat kekurangan diri dan membuat perubahan. Akal yang tinggi tanpa diiringi jiwa yang sensitif, mudah tersasar dari landasanNya. Hari ini, ramai bijaksana menggunakan akal mencari kesenangan hidup biarpun dengan cara zalim. Itu kerana, mereka tidak ada ilmu yang memandu hati kepada Allah.

Hidup kita selalu diputuskan oleh emosi dan akal. Eloklah jika kita ikatkan keduanya pada ilmu. Dan asas ilmu adalah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Moga2 destinasi akhir kita bertepatan dengan syariat yang telah Tuhan sediakan sebelum kita muncul lagi di dunia.

Sunday, August 29, 2010

Ilmu Dan kelembutan

(kiri) Madinah adalah negara paling lembut aroma ketenangannya.

Di radio IKIM pagi tadi, Dr Halizah Siraj mengatakan, apabila manusia mendapat dua perkara ini, dia menjadi orang yang bahagia. Pertama, orang itu perlu berilmu dan kedua, orang tersebut memiliki juga sifat lemah-lembut.

Sejarah telah membacakan kepada kita tentang watak Firaun yang zalim. Selain Firaun, Namrud dan Hitler juga popular sebagai pemimpin yang kasar dan ganas. Mereka mendepani masyarakat dengan paksaan kuasa. Jika rakyat enggan tunduk, balasannya adalah bunuh.

Orang-orang ini telah menerima laknat. Tiada manusia yang mengingati mereka sebagai manusia berpedoman. Tiada siapa yang sudi menjadikan mereka contoh tauladan.

Berbeza dengan nabi-nabi Allah Swt. Nabi Muhammad SAW seorang yang lembut dan berhikmah sepanjang
kehidupan baginda SAW. Justerulah baginda dijadikan contoh oleh seluruh manusia (termasuk bukan Islam). Nabi Isa AS seorang yang amat sopan dan lembut dengan ibunya Maryam. Baginda berdua dikasihani makhluk dan alam.

Jika sifat lembut disekalikan dengan ilmu pengetahuan, tidak akan ada orang yang berani memijak kepala kita (buli). Orang yang berilmu semestinyalah orang yang bijaksana. Di sebalik kelembutannya, ada strategi dan keberanian dalam tindakan.

Yang penting mendahulukan akal fikiran bukan mengikut perasaan. Orang Melayu sebelum merdeka dahulu dikatakan British orang yang lemah dan mudah mengalah. Sikap kita yang terlalu hormatkan mereka (British) hingga setiap orang Eropah yang datang ke Tanah Melayu dipanggil tuan. Oleh hal yang demikian, berjiwa ketuananlah orang Eropah ke atas orang Melayu

Namun, orang Melayu zaman itu suka memendam apa yang dilihatnya tidak cocok. Dia tidak pandai berterus-terang jika tidak bersetuju dengan orang lain. Akibatnya, pendaman itu melahirkan amukan apabila sudah sampai kemuncak. Banyak kes amuk orang Melayu yang mengakibatkan pembunuhan dan kecederaan parah.

Namun sekarang ini. orang Melayu sudah berilmu-pengetahuan. Sudah masuk ke sektor industri dan perniagaan. Sudah bersaing hingga ke peringkat global. Orang Melayu sudah ada aset yang penting iaitu ilmu dan kebijaksanaan. Malah, dengan aset sedia ada; kelembutan itu dilengkapkan pula dengan ilmu, mereka dihormati oleh orang lain termasuk masyarakat Eropah.

Tidak berhenti di situ, entah mengapa sejak negara semakin mencapai kemajuan, orang-orang sudah miliki ilmu mereka tidak mahu mengekalkan kelembutan lagi. Bagi yang tidak berilmu pula, terus dengan sifat lemah tidak mahu berubah.

Orang yang sudah miliki ilmu itu bercakap sesuka hati tanpa memikirkan perasaan pihak lain. Mereka juga sanggup menghalalkan segala cara termasuk kekerasan dan kejahatan demi mencapai matlamatnya. Orang yang tidak berilmu pula menikus dan tidak ambil peduli. Maka, kerosakan terus berlanjutan di sana-sini.

Itulah buktinya ilmu (bijaksana) dan kelembutan perlu disekalikan dalam diri.

Terima kasih kepada ibubapa yang telah mendidik dengan lemah-lembut dan bijaksana hingga anak-anak menjadi manusia yang tenang menghadapi masalah hidup. insya Allah.

Friday, August 27, 2010

Warkah Buat Isteriku.....

Terima kasih wahai isteriku. Sesungguhnya diri ini amat bersyukur di atas pemberianMu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Di sini ku hadiahkan warkah buat isteriku yang tercinta UMMU HANI ABU HASSAN…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Dengan bersaksikan nama Allah. Sesungghnya diri ini terlalu kerdil untuk mengharapkan pengampunan dan makfirah dariMu. Wahai Tuhan yang telah menjadikan seluruh alam ini degan penuh keajaiban dan kesempurnaan malah sedikit pun tiada cacat celanya. Namun begitu sdikit pun Engkau tidak berkehendak dan terkesan di atas apa yang telah Engkau jadikannya. Namun begitu perasaan ini cukup merasakan bahawa diriMu amat hebat bilamana hati ini terpandang akan ciptaanMu yang Maha Luas lagi Maha Hebat.


Dengan bersaksikan kebesaran dan keagunganMu wahai Tuhan, aku bersaksi bahwa sesungguhnya hanya Engkau lah yang Maha Mengetahui akan apa yang ada di dalam diri ni. Sengguhnya diri ini terlalu menyintai dan merindui akan jodoh yang telah Engkau berikan kepadaku. Aku bersyukur kepadaMu sesungguhnya Engkau telah menemukan diriku degan seorang insan yang sangat taat kepadaMu, yang menginginkan kecintaan dariMu, yang sangat merindui akan kekasihMu Baginda Nabi S.A.W.


Hati ini sngguh terharu bilamana Engkau aturkan perjalanan jodohku dengan penuh keajaiban yang aku sangat menyakini bahwa ini semua adalah kebesaran dariMu. Aku bersyukur di ats kesyukuran yang telah Engkau anugerahkan pada diri ini kerna Engkau masih lagi mengekalkan sedikit perasaan di dalam hati ini untuk berjuang di jalanMu. Moga2 dengan ini aku mngharapkan agar pertemuan jodohku ini bersama isteri yang tercinta UMMU HANI ABU HASSAN adalah talian untuk kami mendapatkan cinta dan takutknMu.


Moga2 dengan ini hasil dari pertemuan dua hati yang sama2 menginginkan rahmat dan kasih sayangMu agar kami di kurniakan zuriat yang soleh dan solehah yang mana mereka akan memperjuangkan agamaMu di waktu musuh2Mu cuba untuk menjatuhkan dan memusnahkan agama Mu. Dengan ini Kau anugerahkan lah di hati kami ini dengan prasaan yang sangat sensetif denganMu. Moga2 dgn itu akan menambahkan lagi kelazatan dalam diri ini untuk beribadah kepadaMu serta sebagai bekalan dan persiapan untuk kami mengadapMu di akhirat kelak wahai Tuhan Yang Memiliki Seluruh Alam ini…….

Dari suamimu Ahmad Dhiak Abdul Hashim

Isu Merdeka Saya



"Apabila orang tidak mempercayai kemampuan kita, bagaimanakah kita akan diangkat menjadi pemimpin (atau pekerja sekalipun)?"

Soalan ini tidak perlu dijawab. Ia sebagai muhasabah kepada saya dan juga rakan-rakan pembaca.

Sebelum Merdeka dulu, Orang British membawa masuk kaum Cina ke negara ini (Dulu Tanah Melayu kini Malaysia) untuk ditempatkan dalam sektor perlombongan dan ekonomi bandar. Sebelumnya, orang Melayu memang sudah ada yang berniaga namun hanya tertumpu di pekan kecil dan kuala sungai. British dapat membaca sikap masyarakat Melayu yang secara semulajadinya adalah masyarakat yang sederhana. Cara hidup dan pemikiran orang Melayu tertumpu kepada perkara berkaitan hal-hal agama, adat dan institusi raja. Soal ekonomi dan pembangunan negara tidak dilibati oleh keseluruhan orang Melayu terutama yang tinggal di luar bandar. British melihat keadaan sebaliknya bagi kaum Cina.

Di China, orang-orang Cina sudah biasa hidup berdagang dan berhijrah. Hampir keseluruhan negara di Asia Tenggara mempunyai kaum Cina. Keadaan yang rumit sepert bencana alam dan sistem pemerintahan autokrasi mendorong kaum Cina mencari penempatan yang lebih selesa. Mereka juga perlu bekerja untuk hidup. Orang-orang kasta bawahan sanggup berbuat segala jenis pekerjaan untuk mencari uang. Di tempat mereka berhijrah, mereka perlu menggandakan usaha dan tenaga. Seperti juga di negara asal, Tanah Besar China, masyarakat Cina sentiasa diburu cabaran yang membuatkan mereka 'tidak duduk selesa dan senyap."

Sikap yang berhati-hati dengan 'keadaan' ini menumpukkan 'penyakit' rajin kaum Cina. Mereka akan melakukan sesuatu perkara sama ada disukai atau tidak dengan bersungguh-sungguh asalkan mendatangkan imbuhan. Pihak British tahu, jika orang Cina yang mengguruskan ekonomi Tanah Melayu, pihaknya akan untung. Lalu, bandar-bandar di Tanah Melayu dipenuhkan dengan kaum Cina untuk dikomersialkan sebagai pusat ekonomi.

Orang Melayu menjadi pembeli dan mereka tidak kisah dengan keadaan itu. Selagi mereka mempunyai pendapatan hasil pertanian, mempunyai beberapa ekar tanah dan dapat mengerjakan ibadah haji, sudah cukup mewah. Orang Cina telah berjaya menghapuskan ekonomi kecil orang Melayu apabila sesetengah orang Melayu beralih menjadi pembeli tetap mereka. Sistem 'boleh hutang' dan harga yang murah berbanding di kedai kaum Melayu sendiri, menyebabkan kedai-kedai kecil Melayu ditutup.

Hal ini berterusan hingga Merdeka. Kerajaan melalui dasar DEB telah cuba mengimbangi jurang ekonomi antara Melayu dengan kaum lain. Walaupun ekonomi kaum Cina telah maju berpuluh tapak di depan, usaha kerajaan membantu orang Melayu tetap diteruskan.

Persoalannya, hari ini berapa ramaikah orang Melayu yang benar-benar sedar dan berusaha meningkatkan kualiti diri mereka? Malang lagi, kita juga bukan ketinggalan dalam ekonomi tetapi hari ini, moral, jatidiri, kesedaran bangsa dan bahasa orang Melayu juga rendah. Para pemimpin ada yang bertelagah sekalipun ketika melaksanakan formula menyatukan bangsa.

Merdeka dalam Ramadan tahun ini menuntut kita berfikir daripada bercakap dan bertelagah.

Pagi Yang Indah

Pagi ini terasa amat lapang dan tenang sekali. Mungkin hari ni ialah hari minggu dan kepala tak perlu di programkan untuk ke kuliah. Usai solat subuh berjemaah bersama rakan2 di rumah serta membaca kalam Allah, diri ini terus sahaja terlintas untuk menulis di blog. Minggu ni agak terasa penat kerana di bebani dengan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang siswa serta eskperimen Projek Sarjana Muda (PSM) yang kena disiapkan sebelum cuti raya ni.


Teringat dulu semasa kami baru saja mendirikan rumah tangga. Saya menceritakan kepada isteri bahawa bidang kejuruteraan ini bukanlah sama seperti kursus-kursus yang kebanyakkan ada di universiti. Ia memerlukan pemahaman yang kukuh khususnya berkaitan dengan mata pelajaran Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik semasa belajar di sekolah menengah dahulu. Lantaran itu ia akan terus diguna pakai sehingga ke tahun akhir pengajian di universiti ni.


"Jadi abi harap agar umi dapat memahami keadaan abi yang betul-betul memerlukan tumpuan yang khusus dalam bidang ini," kata saya. Lantaran itu dengan penuh rasa hormat "Yer abi, umi akan sedaya upaya membantu abi untuk meringankan beban abi yang kini telah ditambah lagi dengan satu tanggungjawab yang besar iaitu sebagai suami dan pemimpin kepada umi..." balas isteri sambil baring di atas pangkuan saya.


Ya Allah, saya bersyukur kepadaMu kerana Engkau telah mengurniakanku seorang isteri yang solehah. Rasa terharu di hati ni bila mana Engkau telah menemukan jodohku dengan seorang insan yang cukup istimewa di hati ini. Moga-moga percintaan kami ini akan kekal hingga ke syurga nanti, Insyallah....

Monday, August 23, 2010

Makna Cinta


Kami meredah hutan Pahang menyusur ke hutan Negeri Sembilan sebelum masuk ke Daerah Segamat hingga ke Kluang. Minggu ini bersama isteri pulang ke Temerloh, kota orang-orang luar biasa; Dato Bahaman (pejuang), Pak Sako (wartawan), Ibrahim Hj Yaakob (pejuang), Ibrahim Omar (penulis), Allahyarham Sudirman (seniman) dan ramai lagi.

"Dalam hidup ini, keputusan paling drastik yang pernah abi buat ialah keputusan berkahwin masa belajar," kata saya. Isteri nampak terkejut dan cuba mengawal perasaan terujanya.

"Tentunya itu pengorbanan abi pada umi yang tak akan umi lupakan, insya Allah," katanya. Ya, kami saling tidak mengenali sebelum ini, kenal hanya untuk berkahwin dalam tempoh dua bulan. Isteri pernah berkata, 'saya terperangkap dalam doanya.' "Setiap hari dalam tahun 2009, doa yang umi panjatkan padaNYA ialah YA ALLAH AKU MAHU BERKAHWIN DENGAN LELAKI YANG DAPAT MENERIMA KEKURANGANKU BERBANDING KELEBIHAN'," kata isteri. "Dan Allah telah memilih abi untuk umi. Pilihan Tuhan adalah pilihan terbaik yang setiap hari kena bersyukur," katanya. Saya bertahmid dalam hati, ingin mengatakan yang sama pada isteri.

"Abi memilih untuk mengahwini umi hanya satu matlamat, dapat cinta Allah dan cinta Rasul," kata saya berasa tangan sudah disentuh isteri.

"Abi dah dapat?" duga isteri. Saya hanya tersenyum dan yakin dia akan menjawabnya sendiri.

"Perkahwinan yang berlandaskan cinta Allah dan rasul ini lain dari cinta biasa. Kita menerima pasangan dengan amanah dan tanggungjawab. Apa sahaja kekurangan atau kelebihan pasangan kita akan dikembalikan pada Allah, maka hati akan sentiasa tenang, redho dan bersyukur. Insya Allah tak akan ada perkataan jemu atau menyesal." Saya melirik isteri, moga dia gembira dengan hakikat ini.

"Terima kasih abi.." balas isteri.

"Allah tahu kita macam mana, lalu diberikan pasangan yang sama macam kita. Umi melihat abi adalah umi, begitu sebaliknya. Dan cinta Allah ini tidak dapat kita katakan 'sudah dapat' atau 'belum dapat' kerana jawapannya di akhirat. Cuma, ketika ini kita boleh tahu Allah bersama kita atau tidak melalui kehidupan kita. Ya, bila kita lalai, Allah tegur dan pimpin semula kepadaNya, jika diberiNYA kita nikmat, kita bersyukur bukan takabur. Itu tanda kita dalam pandangan Allah. Itu yang penting dalam perkahwinan," kata isteri menggenggam tangan saya.

Ya Allah, demi keberkatan Ramadan ini Kau lindungilah rumahtangga kami dengan rahmatMU serta kekalkan cinta antara kami hingga kami bertemuMU di akhirat. Jika tidak banyak, Kau berilah sedikit kenikmatan dalam jiwa kami untuk hidup seperti kekasihMu, Rasulullah SAW kerna kami tahu kami tidak mampu setabah baginda SAW.

Wednesday, August 18, 2010

Jenaka Nabi SAW


Dalam Rumahtangga kena selalu bergurau senda:)


Senyuman adalah senaman mulut yang baik. Minda akan terangsang dengan senyuman yang indah seperti mata menatap cahaya pagi. Namun, bagaimana boleh seseorang itu tersenyum jika tidak ada hiburan atau jenaka?

Mafhum hadis Nabi SAW; Orang yang bahagia ialah orang yang dapat membahagiakan dirinya dan orang lain.

Kata-kata yang manis dan jenaka iman dapat membahagiakan orang lain.

Suatu ketika, seorang wanita yang agak berumur datang berjumpa nabi SAW. "Wahai kekasih Allah, aku perlukan unta untuk membawaku," kata perempuan itu.
Lalu nabi SAW membalas, "Akan kuberikan anak unta untuk membawamu wahai ibu."
Si wanita berasa hairan. "Anak unta tidak mampu memikul badanku.." kata si wanita tidak puas hati.
"Bukankah semua unta itu adalah anak unta?" Lalu tersenyumlah si wanita tadi.


Suatu ketika yang lain, Nabi SAW berjenaka dengan wanita Ansar. "Cuba perhatikan mata suamimu, ada tanda putih." Mendengar kata-kata nabi, si wanita Ansar pulang ke rumahnya dan membelek mata suami.
kemudian, fahamlah si wanita akan maksud nabi SAW iaitu semua mata manusia mempunyai warna putih.

Begitulah gurauan baginda SAW ingin menghiburkan sahabat-sahabiatnya. Gurauan boleh mengikat kebahagiaan dan menyimpul kenangan manis.

Namun, gurauan kita jangan sampai melampau batas dan adab susila seorang Muslim.

Tuesday, August 17, 2010

Tak Lebih Dari Manusia


Kita manusia, semuanya dari proses kelahiran yang sama (kecuali Nabi Adam AS dan Nabi Isa AS). Tidak apa yang perlu dibanggakan selagi masa depan kita belum pasti di akhirat. Sedang Nabi Muhammad SAW, penghulu syurga dan satu-satunya manusia yang dipanggil mengadap Allah di Sidratun Muntaha beristigfar (memohon ampun) 100 kali sehari, siapakah kita jika tidak mahu bertaubat?

Saidina Umar al-Khattab, yang sudah tersenarai namanya sebagai penghuni syurga memiliki sebatang rotan khusus memukul dirinya sendiri. Supaya dapat menghilangkan noda dosanya.

Saidina Abu Bakar, yang jika dicatu keseluruhan iman umat akhir zaman tidak dapat menandingi imannya seorang masih rasa cemburu pada burung-burung yang menurutnya 'mati tanpa tinggalkan dosa.'

Mereka; para rasul, para sahabat dan orang-orang Soleh sentiasa gelisah kerana memikirkan dosa dan neraka. Bahkan, jika berbuat baikpun mereka masih rasa bersalah sekiranya, perbuatan itu kerana mahukan syurga bukan kerana Allah.

Allahuakbar!

Siapalah kita yang berada dalam timbunan najis dosa tetapi masih senyum dan ketawa. Yang jika diberi sedikit nikmat dan kuasa, sudah mahu sombong dan zalim.

Tadi, sempat berkongsi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang 'tutup lampu' apabila berbincang hal keluarga dengan anakandanya. Kata sahabat-sahabat yang mendengar kisah itu, "Skemanya khalifah.."
Tidak..itu bukan skema. Itu adalah TAQWA dan AMANAH. Mereka takut sekali menjebakkan diri dalam kemarahan Allah walhal logiknya itu tidak salah (pada kita).


Mereka manusia, kita manusia
Mereka sentiasa takut, dan kita selalu gembira.
Mereka mendambakan akhirat Allah, kita memuja dan mengejar duniaNYA.
Mereka sudah terjamin tempat di syurga, kita belum pasti dan selalu terarah pada neraka.
Mereka tidak sombong dengan Tuhan dan manusia, kita sebaliknya.

Ramadan ini, mari kita bermuhasabah bersama.

Monday, August 16, 2010

Bangga Jangan Tak Bangga


Kebanggaan Firaun dengan piramidnya ini mengundang kemurkaan Tuhan Yang Esa
Ada perkara yang kita boleh banggakan walaupun sifat bangga atau riak ini tidak baik dalam Islam. Bangga yang dimaksudkan bukanlah berbangga-bangga diri; harta, kepandaian, wajah yang cantik, amalan soleh, keturunan dan pangkat. Tetapi berbangga dengan warisan agama, budaya dan bahasa kita.

Berbanggalah menjadi seorang Muslim dengan mempromosikan syiarnya. Misalnya, memakai busana Muslim, berakhlak mulia, menyapa golongan non-Muslim dengan kata-kata yang baik, melaksanakan perintah Allah serta menjauhi laranganNya.

Berbanggalah menjadi orang Melayu. Sikap orang Melayu yang rendah hati dan rendah diri ini ada baik juga buruknya. Sikap rendah hati menyebabkan kita disayangi kaum lain, tetapi rendah hati kita juga boleh menyebabkan orang lain memijak kita. Rendah diri membuang rasa sombong kita kepada dunia, namun, dengan rendah diri, orang Melayu hanya ada cita-cita tinggi tetapi tidak berupaya menandingi kaum lain terutama dari sudut ekonomi. Kita lebih rela menjadi masyarakat pengguna dengan sikap rendah diri untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan kita.

Perkara yang agak membahayakan apabila golongan muda sekarang gemar mempamerkan dirinya sebagai bukan Islam dan bukan Melayu melalui cara berpakaian, berkomunikasi dan gaya hidup. Ini menunjukkan mereka bangga dengan budaya dan agama lain bukan Melayu dan Islam mereka.

Hal ini sedikit demi sedikit akan melenyapkan aset 'berharga' yang telah Tuhan anugerahkan kepada bangsa kita iaitu Islam dan Melayu.

p/s- Jika kopiah atas kepala boleh menyebabkan orang bukan Islam 'TAHU' kita ini orang Islam (dengan sekali pandang), tidak salah kita istiqomah memakainya.

Banyak Berfikir Kurang Bercakap


Istimewanya bulan Ramadan, kita akan akan 'lebih berat' membuka mulut berbanding 'berkata-kata' dalam hati. Diam kerana berfikir. Banyak yang difikirkan di bulan ini hatta apabila semut naik atas pakaian pun, terfikir 'apakah dengan membunuhnya' boleh mengakibatkan 'dosa'. Kesusahan yang diterima dalam bulan Ramadan tidak sukar diterima berbanding bulan lain. Hadir sesuatu masalah, maka otak mengatakan ianya satu 'hikmah' yang Tuhan datangkan iaitu, jika diri mampu bersabar maka, pulangannya adalah 'nikmat'. Dan Ramadan, nikmatnya berganda-ganda daripada bulan-bulan lain.

Bulan ini juga, terbit satu keazaman dalam diri untuk memperbanyakkan bacaan, merenung kelemahan dan mencipta perubahan. Penyakit kronik yang melanda umat ini; Umat Melayu sudah ditahap yang sangat meruncing. Ya, apabila anak-anak Melayu yang berumur 17 tahun ke atas, sudah ramai tidak tahu membaca al-Quran dengan baik. Tidak baik bacaan mereka kerana jarang sekali menyentuh al-Quran. Bagi mereka, tidak ada kepentingan membaca al-Quran berbanding buku2 pelajaran. Ketika disibukkan hal2 kuliah dan hiburan, maka sembahyang juga dipinggirkan.

Kurang menghayati agama menjadi asas kepada keruntuhan generasi baharu Melayu. Rosak anak-anak muda bangsa, rosak terus bangsa itu.

Rahmat Ramadan mencabar kita semua untuk bermuhasabah; apakah cara membumikan semula nilai agama kepada generasi Melayu ini?

Marilah kita fikirkan.