Search This Blog

Monday, August 23, 2010

Makna Cinta


Kami meredah hutan Pahang menyusur ke hutan Negeri Sembilan sebelum masuk ke Daerah Segamat hingga ke Kluang. Minggu ini bersama isteri pulang ke Temerloh, kota orang-orang luar biasa; Dato Bahaman (pejuang), Pak Sako (wartawan), Ibrahim Hj Yaakob (pejuang), Ibrahim Omar (penulis), Allahyarham Sudirman (seniman) dan ramai lagi.

"Dalam hidup ini, keputusan paling drastik yang pernah abi buat ialah keputusan berkahwin masa belajar," kata saya. Isteri nampak terkejut dan cuba mengawal perasaan terujanya.

"Tentunya itu pengorbanan abi pada umi yang tak akan umi lupakan, insya Allah," katanya. Ya, kami saling tidak mengenali sebelum ini, kenal hanya untuk berkahwin dalam tempoh dua bulan. Isteri pernah berkata, 'saya terperangkap dalam doanya.' "Setiap hari dalam tahun 2009, doa yang umi panjatkan padaNYA ialah YA ALLAH AKU MAHU BERKAHWIN DENGAN LELAKI YANG DAPAT MENERIMA KEKURANGANKU BERBANDING KELEBIHAN'," kata isteri. "Dan Allah telah memilih abi untuk umi. Pilihan Tuhan adalah pilihan terbaik yang setiap hari kena bersyukur," katanya. Saya bertahmid dalam hati, ingin mengatakan yang sama pada isteri.

"Abi memilih untuk mengahwini umi hanya satu matlamat, dapat cinta Allah dan cinta Rasul," kata saya berasa tangan sudah disentuh isteri.

"Abi dah dapat?" duga isteri. Saya hanya tersenyum dan yakin dia akan menjawabnya sendiri.

"Perkahwinan yang berlandaskan cinta Allah dan rasul ini lain dari cinta biasa. Kita menerima pasangan dengan amanah dan tanggungjawab. Apa sahaja kekurangan atau kelebihan pasangan kita akan dikembalikan pada Allah, maka hati akan sentiasa tenang, redho dan bersyukur. Insya Allah tak akan ada perkataan jemu atau menyesal." Saya melirik isteri, moga dia gembira dengan hakikat ini.

"Terima kasih abi.." balas isteri.

"Allah tahu kita macam mana, lalu diberikan pasangan yang sama macam kita. Umi melihat abi adalah umi, begitu sebaliknya. Dan cinta Allah ini tidak dapat kita katakan 'sudah dapat' atau 'belum dapat' kerana jawapannya di akhirat. Cuma, ketika ini kita boleh tahu Allah bersama kita atau tidak melalui kehidupan kita. Ya, bila kita lalai, Allah tegur dan pimpin semula kepadaNya, jika diberiNYA kita nikmat, kita bersyukur bukan takabur. Itu tanda kita dalam pandangan Allah. Itu yang penting dalam perkahwinan," kata isteri menggenggam tangan saya.

Ya Allah, demi keberkatan Ramadan ini Kau lindungilah rumahtangga kami dengan rahmatMU serta kekalkan cinta antara kami hingga kami bertemuMU di akhirat. Jika tidak banyak, Kau berilah sedikit kenikmatan dalam jiwa kami untuk hidup seperti kekasihMu, Rasulullah SAW kerna kami tahu kami tidak mampu setabah baginda SAW.

No comments:

Post a Comment