
"Apabila orang tidak mempercayai kemampuan kita, bagaimanakah kita akan diangkat menjadi pemimpin (atau pekerja sekalipun)?"
Soalan ini tidak perlu dijawab. Ia sebagai muhasabah kepada saya dan juga rakan-rakan pembaca.
Sebelum Merdeka dulu, Orang British membawa masuk kaum Cina ke negara ini (Dulu Tanah Melayu kini Malaysia) untuk ditempatkan dalam sektor perlombongan dan ekonomi bandar. Sebelumnya, orang Melayu memang sudah ada yang berniaga namun hanya tertumpu di pekan kecil dan kuala sungai. British dapat membaca sikap masyarakat Melayu yang secara semulajadinya adalah masyarakat yang sederhana. Cara hidup dan pemikiran orang Melayu tertumpu kepada perkara berkaitan hal-hal agama, adat dan institusi raja. Soal ekonomi dan pembangunan negara tidak dilibati oleh keseluruhan orang Melayu terutama yang tinggal di luar bandar. British melihat keadaan sebaliknya bagi kaum Cina.
Di China, orang-orang Cina sudah biasa hidup berdagang dan berhijrah. Hampir keseluruhan negara di Asia Tenggara mempunyai kaum Cina. Keadaan yang rumit sepert bencana alam dan sistem pemerintahan autokrasi mendorong kaum Cina mencari penempatan yang lebih selesa. Mereka juga perlu bekerja untuk hidup. Orang-orang kasta bawahan sanggup berbuat segala jenis pekerjaan untuk mencari uang. Di tempat mereka berhijrah, mereka perlu menggandakan usaha dan tenaga. Seperti juga di negara asal, Tanah Besar China, masyarakat Cina sentiasa diburu cabaran yang membuatkan mereka 'tidak duduk selesa dan senyap."
Sikap yang berhati-hati dengan 'keadaan' ini menumpukkan 'penyakit' rajin kaum Cina. Mereka akan melakukan sesuatu perkara sama ada disukai atau tidak dengan bersungguh-sungguh asalkan mendatangkan imbuhan. Pihak British tahu, jika orang Cina yang mengguruskan ekonomi Tanah Melayu, pihaknya akan untung. Lalu, bandar-bandar di Tanah Melayu dipenuhkan dengan kaum Cina untuk dikomersialkan sebagai pusat ekonomi.
Orang Melayu menjadi pembeli dan mereka tidak kisah dengan keadaan itu. Selagi mereka mempunyai pendapatan hasil pertanian, mempunyai beberapa ekar tanah dan dapat mengerjakan ibadah haji, sudah cukup mewah. Orang Cina telah berjaya menghapuskan ekonomi kecil orang Melayu apabila sesetengah orang Melayu beralih menjadi pembeli tetap mereka. Sistem 'boleh hutang' dan harga yang murah berbanding di kedai kaum Melayu sendiri, menyebabkan kedai-kedai kecil Melayu ditutup.
Hal ini berterusan hingga Merdeka. Kerajaan melalui dasar DEB telah cuba mengimbangi jurang ekonomi antara Melayu dengan kaum lain. Walaupun ekonomi kaum Cina telah maju berpuluh tapak di depan, usaha kerajaan membantu orang Melayu tetap diteruskan.
Persoalannya, hari ini berapa ramaikah orang Melayu yang benar-benar sedar dan berusaha meningkatkan kualiti diri mereka? Malang lagi, kita juga bukan ketinggalan dalam ekonomi tetapi hari ini, moral, jatidiri, kesedaran bangsa dan bahasa orang Melayu juga rendah. Para pemimpin ada yang bertelagah sekalipun ketika melaksanakan formula menyatukan bangsa.
Merdeka dalam Ramadan tahun ini menuntut kita berfikir daripada bercakap dan bertelagah.
No comments:
Post a Comment