(kiri) Madinah adalah negara paling lembut aroma ketenangannya.Di radio IKIM pagi tadi, Dr Halizah Siraj mengatakan, apabila manusia mendapat dua perkara ini, dia menjadi orang yang bahagia. Pertama, orang itu perlu berilmu dan kedua, orang tersebut memiliki juga sifat lemah-lembut.
Sejarah telah membacakan kepada kita tentang watak Firaun yang zalim. Selain Firaun, Namrud dan Hitler juga popular sebagai pemimpin yang kasar dan ganas. Mereka mendepani masyarakat dengan paksaan kuasa. Jika rakyat enggan tunduk, balasannya adalah bunuh.
Orang-orang ini telah menerima laknat. Tiada manusia yang mengingati mereka sebagai manusia berpedoman. Tiada siapa yang sudi menjadikan mereka contoh tauladan.
Berbeza dengan nabi-nabi Allah Swt. Nabi Muhammad SAW seorang yang lembut dan berhikmah sepanjang
kehidupan baginda SAW. Justerulah baginda dijadikan contoh oleh seluruh manusia (termasuk bukan Islam). Nabi Isa AS seorang yang amat sopan dan lembut dengan ibunya Maryam. Baginda berdua dikasihani makhluk dan alam.
Jika sifat lembut disekalikan dengan ilmu pengetahuan, tidak akan ada orang yang berani memijak kepala kita (buli). Orang yang berilmu semestinyalah orang yang bijaksana. Di sebalik kelembutannya, ada strategi dan keberanian dalam tindakan.
Yang penting mendahulukan akal fikiran bukan mengikut perasaan. Orang Melayu sebelum merdeka dahulu dikatakan British orang yang lemah dan mudah mengalah. Sikap kita yang terlalu hormatkan mereka (British) hingga setiap orang Eropah yang datang ke Tanah Melayu dipanggil tuan. Oleh hal yang demikian, berjiwa ketuananlah orang Eropah ke atas orang Melayu
Namun, orang Melayu zaman itu suka memendam apa yang dilihatnya tidak cocok. Dia tidak pandai berterus-terang jika tidak bersetuju dengan orang lain. Akibatnya, pendaman itu melahirkan amukan apabila sudah sampai kemuncak. Banyak kes amuk orang Melayu yang mengakibatkan pembunuhan dan kecederaan parah.
Namun sekarang ini. orang Melayu sudah berilmu-pengetahuan. Sudah masuk ke sektor industri dan perniagaan. Sudah bersaing hingga ke peringkat global. Orang Melayu sudah ada aset yang penting iaitu ilmu dan kebijaksanaan. Malah, dengan aset sedia ada; kelembutan itu dilengkapkan pula dengan ilmu, mereka dihormati oleh orang lain termasuk masyarakat Eropah.
Tidak berhenti di situ, entah mengapa sejak negara semakin mencapai kemajuan, orang-orang sudah miliki ilmu mereka tidak mahu mengekalkan kelembutan lagi. Bagi yang tidak berilmu pula, terus dengan sifat lemah tidak mahu berubah.
Orang yang sudah miliki ilmu itu bercakap sesuka hati tanpa memikirkan perasaan pihak lain. Mereka juga sanggup menghalalkan segala cara termasuk kekerasan dan kejahatan demi mencapai matlamatnya. Orang yang tidak berilmu pula menikus dan tidak ambil peduli. Maka, kerosakan terus berlanjutan di sana-sini.
Itulah buktinya ilmu (bijaksana) dan kelembutan perlu disekalikan dalam diri.
Terima kasih kepada ibubapa yang telah mendidik dengan lemah-lembut dan bijaksana hingga anak-anak menjadi manusia yang tenang menghadapi masalah hidup. insya Allah.





